MENJELANG detik getir pertemuan dua tetangga, Manchester City dan Manchester United di Stadium Etihad, hari ini ada persoalan hangat timbul apakah Alex Ferguson akan berundur sama seperti dilakukan Pep Guardiola dari Barcelona. Mengerti pengurus The Red Devils itu dia tidak akan melakukan keputusan sama kerana dia sentiasa melihat kepada gambaran lebih besar, tambahan sudah diketahui betapa dia kerap mampu bangkit pada situasi paling tertekan untuk kembali semula ke landasan kemenangan.
Pertembungan ini bakal disaksikan 650 juta penonton secara global dari kira-kira 203 negara dan kelibat bintang seperti Wayne Rooney dan Carlos Tevez boleh menjadi penentu kemenangan pasukan masing-masing. City akan melonjak selaku pendahulu baru andai menang atas perbezaan jaringan.
Bagi tonggak Manchester United, Nani menegaskan, ia adalah sesuatu yang cukup memalukan sekiranya mereka gagal menjulang trofi Liga Perdana England musim ini. United yang bakal berdepan musuh setempat, Manchester City di Etihad awal pagi esok kini hanya tiga mata di depan anak-anak buah Roberto Mancini.
Sebelum ini, skuad kendalian Alex Ferguson dilihat begitu selesa menerajui liga tetapi tiba-tiba keciciran mata penting termasuk ketika seri 4-4 dengan Everton dalam aksi terakhir mereka di Old Trafford. Jika tewas awal pagi esok, sudah pasti City lebih berpeluang muncul juara selepas memiliki kelebihan perbezaan jaringan berbanding United.
"Bagi saya, ia sesuatu yang cukup memalukan jika kami gagal muncul juara liga musim ini. "Ia sememangnya satu malapetaka buat kami. "Kami begitu cuai dalam beberapa perlawanan terakhir kami sebelum ini dan kami perlu bertanggungjawab sekiranya kami gagal menjulang trofi liga. "Menamatkan saingan tanpa sebarang trofi sememangnya memalukan buat kelab besar seperti United. "Saya berpendapat, kami tidak mempunyai sebarang alasan jika gagal," kata Nani.
Pendapat Nani dipersetujui Ferguson, "Jika City menang, mereka pasti muncul juara. Walaupun kena bertandang ke Newcastle, saya fikir mereka masih mempunyai kelebihan. "Jika kami menang, maka kami hanya selangkah dari mempertahankan gelaran.
Biarpun seri, kami tetap menjadi pilihan. Tiada persoalan mengenainya."Dua perlawanan lagi, satu di laman sendiri, satu tempat lawan, kami perlu berasa gembira dengannya."Satu perkara yang pasti, kami tidak akan berkunjung ke City semata-mata memastikan kami tidak kalah.
" United hanya perlu menyalahkan diri sendiri apabila terlepas peluang mengekalkan kelebihan lima mata di tangga teratas minggu lalu selepas membiarkan Everton bangkit dari ketinggalan 2-4 pada tujuh minit terakhir dan berkongsi mata. Fergie yang mengaku bertanggungjawab ke atas keputusan itu berkata pasukannya sepatutnya dapat menang dengan selesa mengambil kira peluang jaringan yang dicipta serta kualiti persembahan.
"Mungkin saya sepatutnya memasukkan beberapa pemain pertahanan untuk mempertahankan kedudukan itu sehingga akhir permainan." Ferguson turut mengakui bahawa City sejak dari awal musim lagi dianggap United sebagai pencabar utama, khususnya selepas mereka bermula penuh memberangsangkan. "Maksud saya, mereka tidak berdepan jadual sukar pada permulaan musim, jadi berjaya mendapat permulaan yang cemerlang. "Kami pula terpaksa berdepan Arsenal, Chelsea dan Tottenham dalam lima jadual perlawanan pertama," jelas Fergie.
United bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan City 3-2 pada aksi pembuka musim, Perisai Komuniti, namun Citizens melunaskan dendamnya dengan memalukan musuh sejiran mereka itu 6-1 di Old Trafford pada Oktober. Kedua-dua pasukan dipertemukan sekali lagi pada Piala FA di Etihad, kali ini kemenangan memihak United 3-2. Bagi Ferguson, apa yang telah berlaku sepanjang musim ini tidak akan mempengaruhi pertembungan hari ini.
No comments:
Post a Comment