Thursday, March 21, 2013

Shafiq Di Kagumi

image

Malam ini merupakan malam yang boleh dianggap sebagai “hidup mati” pasukan Harimau Malaya. Seandainya kalah, kita boleh dianggap mengucapkan “Selamat Tinggal” kepada Piala Asia 2014 dan bermakna Dato K.Rajagopal boleh angkat kaki. Sekiranya menang, pastikan kenyakinan peminat akan kembali pulih. Sekurang-kurangnya sehingga perlawanan seterusnya menentang Bahrain.

Tapi kenyataan yang diberikan oleh jurulatih Yemen ini nampak pelik, kekaguman beliau kepada corak permainan Shafiq Rahim perlu di persoalkan. Ketika kebanyakan peminat mula meragui kemampuan “Kapten Harimau Malaya” ini, beliau nampak bernada yang berlawanan. Mungkin jaringan Shafiq ketika menentang Arab Saudi di jadikan ukuran atau mungkin juga maklumat dari Pegawai Pasukan Harimau Malaya menjadi sebab kenyataan ini di buat.

Walaubagaimanapun, bukan menidakkan keupayaan Shafiq sebelum ini. Namun sekarang ini, jelas dia bukan lagi relevan untuk Harimau Malaya. Kekeringan idea terus menjadi “batu Penghalang” untuk beliau kembali ke prestasi terbaiknya ketika Piala Suzuki 2010. Bukan sahaja dalam skuad Kebangsaan, malahan di peringkat kelab sekalipun beliau nampak tidak cukup bagus untuk menjadi “Jeneral” diatas padang.

Kepada jurulatih Yemen, harap anda timbangkan semula kenyataan anda kerana Shafiq kini bukan lagi Shafiq yang dulu. Dan kepada Shafiq, para peminat masih menantikan kemampuan sebenar anda. Sentuhan hebat dahulu sudah menjadi sejarah, kini masa untuk membuktikan anda adalah antara pemain tengah terbaik pernah dilahirkan Harimau Malaya.

SELAMAT BERJUANG HARIMAU MALAYA.

Pra Piala Asia: Malaysia VS Yamen

image Yaman mungkin dianggap ‘lubuk’ terbaik untuk Harimau Malaya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri berbanding dua lagi pasukan pilihan, Qatar dan Bahrain dalam saingan Kumpulan D, namun berdasarkan aksi longlai ketika berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam kelmarin, ternyata ia belum cukup meyakinkan.

Bekas pemain bolasepak kebangsaan Reduan Abdullah berpendapat Rajagobal perlu melakukan perubahan dalam skuadnya jika mahu mencipta kebangkitan dalam kempen kelayakan selepas tumpas 0-2 pada perlawanan pembukaan dengan Qatar bulan lalu.

“Banyak kelemahan yang dapat dilihat khususnya benteng pertahanan dan bahagian serangan. Bagi saya kita melepaskan empat gol yang boleh kita elakkan jika kita mempunyai disiplin taktikal.

“Dalam tempoh beberapa hari ini Rajagobal perlu melakukan sesuatu dan membuat rombakan kesebelasan utamanya. Mungkin Yaman berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia namun kita tidak boleh mengetepikan kemampuan pasukan Timur Tengah ini.

“Memang perlawanan dengan Arab Saudi bagus untuk Rajagobal menilai pemain namun jika mereka tetap tidak berubah ia pasti menyukarkan kita untuk mengutip mata menentang Yaman di laman sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Aksi menentang Arab Saudi menjadi medan eksperimen pemain oleh Rajagobal apabila beliau membuat pertukaran lebih enam pemain sekali gus meragut status A perlawanan itu yang boleh memberi mata kepada ranking Malaysia yang kini menduduki tangga ke-164 dunia.

Menurut Reduan yang turut memiliki pengalaman sebagai jurulatih dan kini lebih banyak menghabiskan masa sebagai pengulas bola sepak, peminat bukan hanya mahukan keputusan baik namun mahu melihat gaya permainan menarik daripada Harimau Malaya apabila berdepan Yaman yang enam anak tangga di belakang Malaysia.

“Pemain kita cepat sangat hilang bola, baru tiga kali hantaran bola sudah berjaya dirampas lawan. Saya tidak nampak kita mempunyai gaya permainan kerana itulah kita gagal mengatur gerakan dengan baik.”

Segala-galanya akan terjawab pada malam ini, samada mampu atau tidak skuad Dato K.Rajagopal mengembalikan keyakinan peminat kepada beliau ataupun sebaliknya..

Monday, March 18, 2013

Harimau Malaya Belum Cukup Mantap

Rembatan pemain gantian Mohd Safiq Rahim pada minit ke-70 yang menggegar gawang lawan memberikan sedikit kegembiraan kepada 5,000 penonton yang hadir di Stadium Shah Alam.

Ia dilihat mampu mengembalikan reputasi kapten kebangsaan itu yang sebelum ini dikecam berikutan prestasi tidak konsisten dalam kancah domestik. Namun kegembiraan itu hanya seketika apabila Arab Saudi kembali garang menyumbat dua gol lagi selepas itu. Apapun aksi perlawanan semalam dilihat bukan berstatus `A’ seperti yang dilaporkan sebelum ini apabila kedua-dua pasukan melakukan pertukaran melebihi enam pemain dengan Arab Saudi memasukkan keseluruhan pemain baru di babak kedua.

Pelawat kendalian Lopez Caro terlebih dulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan kebelakang penyerang kelab Al-Ettifaq, Yousef al-Salem.

Kesilapan penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat membaca gerakan lawan jelas membawa padah apabila Yousef menyentap semangat anak buah Datuk K Rajagobal yang nampak tenggelam dengan hantaran pendek dan kombinasi pemain lawan.

Kehadiran Mohd Badhri Radzi yang bergandingan bersama Shakir Shaari mengemudi jentera tengah belum mampu menggerakkan serangan berbahaya sepanjang 45 minit babak pertama.

Foto

AMRI (tengah) dihalang dua pemain Arab Saudi Abdullah Aldossary (kiri) dan Taiseer Aljassam malam tadi.

Malah lawan sebaliknya menambah jaringan menerusi Yahya al-Shehri m-30 diikuti kealpaan benteng pertahanan membuka ruang Naif Hazazi merembat masuk m-89 dan Hamdan al-Hamdan pada masa kecederaan babak kedua.

Ketumpulan sentuhan penyudah yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha dilihat menjadi penyumbang kekalahan Harimau Malaya walaupun mendapat beberapa peluang meledak gol pada babak awal separuh masa kedua.

Rajagobal yang melakukan rombakan pemain pada babak kedua masih belum mampu menyaingi kehebatan lawan. yang turut membuat persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Indonesia.

Kekalahan itu menambah kesangsian akan keupayaan skuad negara sendiri berdepan Yaman, Jumaat ini selepas tumbang kepada Qatar pada aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2015.

 

image

Thursday, August 9, 2012

PANDALELA RAIH GANGSA OLIMPIK

Ratu terjun kelahiran Sarawak, Pandelela Rinong tidak menghampakan sandaran yang diletakkan di atas bahunya apabila merangkul pingat gangsa dalam acara akhir 10m platform wanita pada Sukan Olimpik 2012, lewat malam tadi.
Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu menceriakan kontinjen Malaysia, tiga hari sebelum temasya Sukan Olimpik melabuhkan tirainya, dengan menghadiahkan pingat kedua negara selepas sebutir perak oleh Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton, Ahad lalu.
NONESelepas wakil tunggal Heidi Gan memperoleh tempat ke-16 dalam acara renang maraton 10km laut terbuka di Tasik Serpentine di Hyde Park pada sebelah pagi, misi menambah pingat kedua tanpa mengira warna kelihatan mustahil.
Bagaimanapun, Pandelela, yang diberi tanggungjawab membawa bendera Jalur Gemilang pada perarakan kontinjen pada majlis perasmian Sukan Olimpik 2012, berjaya memecah kebuntuan memburu pingat kedua negara.
Dia mengumpul 359.20 mata untuk meraih gangsa di belakang pemenang pingat emas Chen Ruolin dari China dan pemenang pingat perak, Brittany Broben dari Australia.

Pandelela memulakan terjunan pertama dengan hambar ekoran kesilapan dengan memungut 58.50 mata daripada acara Forward 3 1/12 somersault.
Dia kemudian bangkit dengan mengumpul 78.30 daripada acara Back 2 1/2 somersault, 64.00 (Armstand BAck double somersault 1 1/2 twist, 81.60 (Inward 3 1/2 somersault) dan 76.80 (Back 1/2 Somersault 1 1/2 twist).
Pandelela berkata selepas melakukan kesilapan pada terjunan awal, beliau dinasihatkan jurulatihnya dari China, Yang Zhuliang supaya melupakan kesilapan tersebut dan memberi tumpuan kepada empat terjunan seterusnya.
"Kejayaan meraih pingat gangsa ini saya tujukan kepada seluruh skuad terjun negara. Saya sendiri tidak menyangka mampu meraih pingat di temasya ini," katanya.
Penerjun itu akan mendapat ganjaran wang tunai sebanyak RM150,000 di bawah Skim Hadiah Ganjaran Sukan (Shakam) Kementerian Belia dan Sukan dan mendapat pencen seumur hidup sebanyak RM2,000 sebulan.

Pencapaian Pandelela itu akhirnya memecah dominasi sukan badminton yang sebelum ini menyumbangkan dua pingat perak dan dua gangsa, sejak Malaysia pertama kali menyertai temasya sukan terbesar dunia, bermula di Melbourne pada 1956.
Kejayaan Pandelela ini juga, sehingga kini, menyamai pencapaian kontinjen negara daripada edisi 1996 Atlanta, Amerika Syarikat, yang membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
Esok, seorang lagi penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, akan menggalas satu lagi tugas berat dalam menambah kutipan pingat apabila memulakan saingan dalam acara 10m platform lelaki.

- Bernama

***Syabas Pandalela, walaupun bukan kilauan emas tapi ianya memadai untuk kontigen negara. Lagipun prospek emas terpikul di bahu Azizul selepas Dato’ Lee Chong Wei, namun tanpa kilauan pingat langsung dari Azizul.

DATO’ TONY DITAWAR BELI KELAB BOLA SEPAK INDONESIA

JAKARTA - Ketua Pegawai Eksektuif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang baru saja memindahkan operasi syarikatnya dari Kuala Lumpur ke kota raya Jakarta, telah diminta melibatkan diri dalam arena bola sepak Indonesia.
Tuan punya kelab Queens Park Rangers (QPR), England itu berkata beliau sebenarnya ditawarkan untuk membeli sebuah kelab bola sepak Indonesia.
"Saya berminat, ini satu penghormatan kerana ada orang meminta saya melibatkan diri dalam bola sepak Indonesia. Jadi, kita tunggu dan lihat, ini begitu mengujakan," kata beliau dalam temubual selepas pelancaran AirAsia Asean, pejabat pangkalan rantauan di sini semalam.
Fernandes bagaimanapun enggan menamakan kelab bola sepak yang membuat tawaran itu.
Menurut laporan media asing, Tune Group milik Fernandes membeli 66 peratus taruhan dalam kelab QPR tahun lepas daripada ketua Formula One Bernie Ecclestone dan rakannya Flavio Briatore, dengan baki saham kekal di tangan keluarga Lakshmi Mittal, seorang bilionair besi waja. Urusniaga itu bernilai 35 juta paun.

Seperti mana, beliau membangunkan perniagaan syarikat penerbangan tambang murah yang semakin popular di peringkat global secara berperingkat, begitu juga pendekatan yang akan digunakan dalam lapangan sukan.

Dengan merujuk pembelian QPR, Fernandes berkata, kelab tersebut dikembangkan secara berperingkat sehinggalah beliau membuat keputusan membeli sembilan pemain baru untuk mengukuhkan kelab London itu menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris yang bermula 18 Ogos ini. QPR yang dibeli menerusi syarikat Tune Sports menyaksikan syarikat Malaysia pertama memiliki pasukan Liga Perdana Inggeris.

Fernandes yang mengagumi perkembangan sukan bola sepak Indonesia turut menarik perhatian mengenai sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat sukan di negara tersebut ketika membawa QPR menyertai perlawanan persahabatan dengan Persebaya di Surabaya, bulan lalu.

Kata Fernandes, beliau sangat terpukau dengan sokongan fanatik peminat kelab Persebaya tempoh hari.

Dengan kehadiran lebih 40,000 penonton, beliau menyifatkan, sambutan berkenaan sangat luar biasa dan tentu sekali akan merangsang pemain meningkatkan lagi kualiti permainan.

"Surabaya sangat menakjubkan. Ia merupakan pengalaman yang sangat menyentuh kerana peminat-peminatnya penuh semangat. Para pemain juga pasti tidak akan melupakannya," tambahnya lagi.

Tuesday, August 7, 2012

IMPIAN EMAS HAMPIR BERKUBUR DENGAN TUMPASNYA AZIZUL

LONDON - Impian melihat kilauan emas dalam berbasikal trek lebur selepas pelumba sensasi negara Mohd. Azizulhasni Awang yang garang menuju ke garisan penamat dihimpit pelumba Belanda sehingga memusnahkan harapan pingat keirin lelaki Sukan Olimpik di sini, semalam.

Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat terakhir manakala pingat emas milik pelumba tuan rumah, Chris Hoy. Maximilan Levy dari Jerman meraih perak dan gangsa dikongsi bersama oleh pelumba New Zealand, Simon van Velthooven dan Teun Mulder dari Belanda.

Hoy memang seorang pelumba yang hebat dalam acara keirin kerana pernah memenangi tiga pingat emas Kejohanan Trek Dunia dan emas Olimpik 2008 Beijing, manakala Levy pula pernah memenangi emas, perak dan gangsa di Kejohanan Trek Dunia.

Digelar The pocketrocketman, Azizulhasni bermula di barisan belakang enam pelumba yang bertarung pada saingan sebelum meningkatkan kayuhan untuk berada di barisan depan.

Namun, ketika saingan berbaki satu pusingan, Azizulhasni yang kedudukannya lebih ke dalam terkepung sebelum pelumba Belanda, Mulder datang dari arah belakang dan menghimpit sekali gus menyukarkannya untuk memintas.

Ini adalah kali pertama pelumba kelahiran Dungun itu berjaya menempah ke saingan akhir dalam penampilan keduanya di Sukan Olimpik.

Empat tahun lalu di Beijing dia menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan penentuan ketujuh hingga ke-12 selepas gagal mara ke akhir.

Seperti di Beijing 2008, Hoy tidak mempunyai masalah untuk membawa pulang emas di tanah kelahirannya.

Kejayaan Azizulhasni ke saingan akhir mengulangi pencapaian seorang lagi jaguh keirin negara, Josiah Ng yang pernah mara di peringkat yang sama pada Olimpik Athens 2004, bagaimanapun penyertaannya dibatalkan.

Pelumba berusia 24 tahun itu pernah memenangi pingat perak keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Ballerup, Denmark dan meraih emas dalam acara yang sama di Sukan Asia 2010 Guangzhou.

Februari tahun lepas Azizulhasni mendapat tumpuan dunia selepas terlibat dalam kemala ngan ngeri di Siri Piala Dunia Klasik Manchester mengakibat kan betis kaki kirinya tercucuk serpihan trek.

Berikutan kegagalan Azizulhasni dalam berbasikal trek, harapan kini beralih ke bahu penerjun negara, Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform manakala seorang lagi, Yeoh Ken Nee telahpun menempatkan diri ke final.

Malaysia kini masih kekal dengan satu pingat perak daripada pemain badminton perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei. - Utusan

Monday, August 6, 2012

CHONG WEI AKUR WALAU PAMER AKSI MEMUKAU

 

 

NONELONDON - “Maafkan saya, saya tahu rakyat Malaysia kecewa. Saya sudah melakukan yang terbaik," kata Datuk Lee Chong Wei selepas gagal dalam usahanya untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik selepas tewas buat kali kedua kepada musuh tradisi, Lin Dan pada perlawanan akhir di Arena Wembley, semalam.

Kegagalan tersebut sekali gus menghampakan impian jaguh No. 2 negara itu untuk menjadi penyumbang emas pertama Malaysia dalam sejarah Olimpik, namun dia tetap menghadiahkan pingat perak pertama buat kontinjen negara di Temasya London 2012.

Chong Wei, 29, sudah begitu hampir untuk melakar sejarah di Olimpik sebelum dua mata akhir memberi kemenangan kepada Lin Dan yang akhirnya mengekalkan pingat emas buat kali kedua berturut-turut.

Turun dengan semangat yang menyala, Chong Wei yang tewas kepada lawan yang sama pada babak akhir di Beijing 2008 diberi tentangan sengit apabila kedua-duanya saling bertukar mata sebelum menang 21-15 di set pembukaan, tetapi Lin Dan bangkit menyamai kedudukan 21-10 pada set kedua untuk ke rubber set.

Set penentuan Chong Wei bermula baik, namun kesilapan pada permainan jaring dan kerap melakukan hantaran tinggi menghukumnya sehingga memberi mata mudah kepada Lin Dan yang garang menyerang untuk memungut mata walaupun satu ketika lawannya ketinggalan 9-11 dan 16-18, sebelum mengesahkan kemenangan 21-19.

“Saya kecewa dengan kekalahan ini. Lin Dan seorang lawan yang sukar tetapi kekalahan ini juga memberikan semangat kepada saya untuk tidak jemu menentangnya. Begitupun untuk Sukan Olimpik seterusnya saya mungkin sudah bersara tetapi tak tahulah, sama ada Lin Dan masih menyertainya. Selepas ini saya akan menyertai Liga China dan mungkin kami akan bertemu lagi dan menjadi kawan baik. NONE

“Hanya ada satu Lin Dan sahaja di dunia dan tidak ada sesiapa pun mampu menewaskannya. Sudah dua kali saya tewas kepada dia pada perlawanan akhir Sukan Olimpik. Mungkin saya hanya berhak untuk pingat perak.

“Lin Dan bekerja kuat untuk temasya ini dan kemenangan dia merangsang saya untuk berkerja lebih kuat. Berbanding dengan permainan saya di Beijing 2008, persembahan saya kali ini lebih bagus,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, Lin Dan mengakui lebih bernasib baik kali ini selepas diberi tentangan sengit termasuk tewas pada set pertama.

Katanya, bukan mudah untuk mendapatkan emas, malah dia terpaksa melakukan banyak pengorbanan sejak menang buat kali pertama pada 2008.

“Saya bernasib baik selepas tewas di set pertama. Chong Wei bermain bagus tetapi saya dapat mencuri peluang daripada permainan perlahannya di set kedua dan ketiga,’’ kata Lin Dan.

China mengukuhkan kedudukan sebagai gergasi badminton dunia dengan memenangi semua lima emas yang ditawarkan di London.

Turut menyaksikan perlawanan akhir itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor. - UTUSAN