ALOR SETAR, (Bernama) - Kedah memilih Vedran Gerc dari Croatia sebagai pemain import barunya bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu yang semakin tumpul dalam saingan Liga Malaysia.
Gerc, 26, menggantikan pemain Ghana, Hamidan Mohammed yang disingkir selepas gagal memberi persembahan memuaskan termasuk ketika kalah 0-2 kepada Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini Jumaat lepas.
Gerc akan bergandingan dengan Mohd Khyril Muhymeen Zambri di bahagian serangan pada aksi menentang Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam esok.
Pengurus Pasukan Datuk Khazali Din yang mengesahkan pengambilan pemain import baru itu, berkata pemain terbabit menandatangani kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dua hari lalu.
"Pihak pengurusan dan jurulatih berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh pemain tersebut dalam beberapa sesi perlawanan ujian sebelum ini," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya pemain yang mempunyai ketinggian 1.84 meter itu mempunyai pengalaman luas ketika beraksi dengan beberapa kelab terkemuka Croatia, dan diharapkan dapat membantu Kedah memburu kemenangan.
Hamidan merupakan pemain import ketiga yang disingkirkan oleh KFA kerana gagal mempamerkan aksi memberangsangkan bagi membantu pasukan tersebut mencipta kemenangan dan melonjak pasukan tersebut ke tangga lebih baik dalam saingan Liga Super.
KFA sebelum ini menggugurkan dua pemain Brazil, Daniel Baroni dan Danillo Rafael dan digantikan dengan Abdelfatah Safi dan Hamidan.
Dalam pada itu, untuk tidak terus dihimpit kekalahan, jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan sedia berhadapan risiko menurunkan pemain muda di barisan pertahanan bagi menggantikan beberapa tonggak yang terus mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar.
Menyifatkan aksi lembik yang dipamerkan oleh pemain terbabit tidak sepatutnya berlaku jika pengalaman menjadi sandaran, dia mengakui banyak kesilapan mudah dilakukan oleh pemain terbabit.
Katanya, ia menjadi faktor Kedah tersungkur dalam dua perlawanan terakhir, menyebabkan skuad Kenari terperosok ke tangga ketiga tercorot liga.
"Dalam dua perlawanan terakhir, saya tidak faham kenapa aksi pemain pertahanan di tahap yang mengecewakan katanya lagi. |
No comments:
Post a Comment