Sunday, April 29, 2012

CHONG WEI KECUNDANG DI TERBUKA INDIA 2012

KUALA LUMPUR - Sejak Januari 2009, sudah menjadi kelaziman untuk peminat-peminat badminton tanah air melihat Datuk Lee Chong Wei menaiki podium selaku juara atau jika bergelar naib juara pun, orang yang berada di sebelah podium lebih tinggi adalah Lin Dan.

Namun, tradisi itu nampaknya tidak lagi berkekalan apabila jaguh perseorangan No. 1 dunia, Chong Wei tumpas mengejut di tangan pemain No. 17 dari Korea  Selatan, Shon Wan Ho 18-21 21-14, 19-21 pada perlawanan akhir Terbuka India di New Delhi, semalam.

Meskipun tidak membawa sebarang kesan, tidak boleh dinafikan bahawa kekalahan yang tidak diduga itu merupakan tamparan besar buat Chong Wei, tiga bulan menjelang Olimpik. Sejak ditewaskan jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade pada Terbuka Korea 2009, Chong Wei tidak pernah tunduk kepada mana-mana pemain dalam kejohanan terbuka yang disertainya selepas itu kecuali seteru utamanya, Lin Dan dan Chen Long pada perlawanan akhir Terbuka Jepun dan Denmark tahun lalu.

Turun menentang Wan Ho, yang dianggap pemain perseorangan kedua terbaik Korea selepas Lee Hyun Il, Chong Wei nyata bergelut untuk mempamerkan kemampuan sebenar. Bagaimanapun, Wan Ho pun adalah seorang pemain yang tidak kurang hebatnya kerana walaupun tidak pernah menewaskan Chong Wei dalam empat pertemuan sebelum ini, dua daripadanya dia berjaya mengheret lawan ke set penentuan, terbaru pada pusingan kedua Terbuka Korea awal tahun ini.

Begitu juga dengan semalam, tetapi kali ini skrip cerita berakhir dengan Wan Ho muncul sebagai pemenangnya. Lebih manis, ia adalah gelaran sulung Siri Super BWF untuk dirinya. Biarpun di ambang kemenangan pada 18-13, Wan Ho bagaimanapun cemas seketika apabila dikejar semula Chong Wei sehinggakan memintasnya pada 19-18. Pujian harus diberikan kepada Wan Ho kerana dapat kekal bertenang untuk mengutip tiga mata seterusnya.  

 

No comments:

Post a Comment