Thursday, August 9, 2012

DATO’ TONY DITAWAR BELI KELAB BOLA SEPAK INDONESIA

JAKARTA - Ketua Pegawai Eksektuif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang baru saja memindahkan operasi syarikatnya dari Kuala Lumpur ke kota raya Jakarta, telah diminta melibatkan diri dalam arena bola sepak Indonesia.
Tuan punya kelab Queens Park Rangers (QPR), England itu berkata beliau sebenarnya ditawarkan untuk membeli sebuah kelab bola sepak Indonesia.
"Saya berminat, ini satu penghormatan kerana ada orang meminta saya melibatkan diri dalam bola sepak Indonesia. Jadi, kita tunggu dan lihat, ini begitu mengujakan," kata beliau dalam temubual selepas pelancaran AirAsia Asean, pejabat pangkalan rantauan di sini semalam.
Fernandes bagaimanapun enggan menamakan kelab bola sepak yang membuat tawaran itu.
Menurut laporan media asing, Tune Group milik Fernandes membeli 66 peratus taruhan dalam kelab QPR tahun lepas daripada ketua Formula One Bernie Ecclestone dan rakannya Flavio Briatore, dengan baki saham kekal di tangan keluarga Lakshmi Mittal, seorang bilionair besi waja. Urusniaga itu bernilai 35 juta paun.

Seperti mana, beliau membangunkan perniagaan syarikat penerbangan tambang murah yang semakin popular di peringkat global secara berperingkat, begitu juga pendekatan yang akan digunakan dalam lapangan sukan.

Dengan merujuk pembelian QPR, Fernandes berkata, kelab tersebut dikembangkan secara berperingkat sehinggalah beliau membuat keputusan membeli sembilan pemain baru untuk mengukuhkan kelab London itu menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris yang bermula 18 Ogos ini. QPR yang dibeli menerusi syarikat Tune Sports menyaksikan syarikat Malaysia pertama memiliki pasukan Liga Perdana Inggeris.

Fernandes yang mengagumi perkembangan sukan bola sepak Indonesia turut menarik perhatian mengenai sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat sukan di negara tersebut ketika membawa QPR menyertai perlawanan persahabatan dengan Persebaya di Surabaya, bulan lalu.

Kata Fernandes, beliau sangat terpukau dengan sokongan fanatik peminat kelab Persebaya tempoh hari.

Dengan kehadiran lebih 40,000 penonton, beliau menyifatkan, sambutan berkenaan sangat luar biasa dan tentu sekali akan merangsang pemain meningkatkan lagi kualiti permainan.

"Surabaya sangat menakjubkan. Ia merupakan pengalaman yang sangat menyentuh kerana peminat-peminatnya penuh semangat. Para pemain juga pasti tidak akan melupakannya," tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment