JURULATIH skuad Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah ternyata kecewa berikutan kegagalan anak didiknya mengutip tiga mata penuh di Paroi, semalam.Azraai bagaimanapun tetap berpuas hati dengan kutipan satu mata berikutan komitmen dan corak persembahan mantap yang ditunjukkan oleh pemain ketika aksi Liga Super menentang Terengganu, malam tadi.
Negeri Sembilan dan Terengganu mengakhiri perlawanan 1-1.
“Memang saya kecewa lebih-lebih lagi apabila pemain import, Effa Owona gagal melaksanakan peluang yang terhidang di depan mata walaupun telah diberikan sepakan penalti.
“Tiga mata sangat berharga untuk diperoleh, namun ini adalah adat bola sepak, sekiranya gagal memanfaatkan peluang yang ada, inilah akibat yang akan diterima,” katanya.
Meskipun turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama, Azraai tetap berpuas hati dengan kesungguhan pemain terutamanya dengan barisan pertahanan yang berjaya mengemudi pintu gawang daripada dibolosi.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan corak persembahan semalam,” katanya.
Enggan meletakkan sebarang sasaran menjelang perlawanan menentang Selangor 8 Mei ini, beliau akan cuba menyediakan latihan secukupnya buat pasukan bimbingannya sambil berharap penyerangnya, Ahmad Shakir Ali akan kembali sembuh dan beraksi dalam perlawanan itu nanti.
Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam, kesilapan awal dari tuan rumah memberi peluang kepada Terengganu memburu gol pertama hasil tendangan penalti pemain import diminit ke-4, Francis Forkey Doe, apabila Abd Manaf Mamat dijatuhkan Rashid Mamud di kotak penalti Negeri Sembilan.
Tuan rumah, Negeri Sembilan banyak terlepas menjaringkan gol sepanjang perlawanan dan hanya diminit ke-21, Sharbinee Allawee dapat ditewaskan penyerang sensasi Effa Owana apabila gawang Terengganu kucar-kacir hasil gandingan serangan Effa, Shahruain dan Shukor Adan di hadapan pintu gol.
Namun begitu, peluang menambah gol buat pasukan NS gagal disempurnakan oleh Effa Owana yang mengambil sepakan penalti di minit ke-84, di mana sepakannya melambung di atas tiang gol.
Sepakan penalti diberi kepada pasukan NS oleh pengadil perlawanan Kamal Ahmad apabila Shahruian dijatuhkan di kotak penalti hasil gerakan solonya dari jarak 25m.
No comments:
Post a Comment